Kata Kata Kata Kata
[KREDIT] |
Kata orang perjalanan hidup ini panjang,
jadi tidak perlu berjalan laju.
Kata orang perjuangan jiwa dan rasa ini perit,
maka tidak perlu berjerih-perih.
Kata orang buat apa hendak berumah di tepi pantai,
kalau tidak mahu dilanggar ombak?
Kata orang mengapa mahu berakit-rakit ke hulu,
sedangkan sudah ada bot laju?
Kata orang hidup ini singkat,
mengapa mahu berlelah penat?
Kata orang ini.
Kata orang itu.
Orang berkata-kata.
Orang bercakap-cakap.
Orang menyebut-nyebut.
Yang melalui jalan itu akhirnya kita.
Yang merasai pahitnya perjuangan itu jiwa kita.
Yang rumah di tepi pantai itu milik kita.
Yang berakit ke hulu rakit kita.
Yang lelah dan penat itu juga diri kita.
Orang berkata-kata, yang merasai kita.
Orang bercakap-cakap, yang menanggungnya kita.
Orang menyebut-nyebut, yang tahu juga kita.
Maka mengapa perlu sibuk dengan orang kata?
Mengapa mahu susah hati dengan orang kata?
Mengapa mahu pening-pening dengan orang kata?
Kerana akhirnya kata Allah jua yang utama.
Kerana kesudahannya Allah yang memberi pahala.
Kerana usai hayat ini kita mahu masuk sorga,
Dan bukan neraka,
Dan bukan azab bencana,
Dan bukan bersama orang yang hanya tahu berkata.
Maka teruskan bekerja,
Jangan sesekali berputus-asa,
Penat lelah itu biasa,
Jerih keringat itu tiada apa,
Omelan keluhan itu norma,
Kerana Dia melihat,
Kerana Dia menilai,
Kerana Dia mengetahui.
Bukannya dia,
Bukannya orang yang berkata-kata.
-NNIBMS-Hari-hari yang mendatang adalah suatu cabaran yang misteri buat kita semua. Hadapinyalah dengan penuh keredhaan, keimanan dan oh, jangan lupa keceriaan. Anda pasti akan tersenyum penuh kesyukuran dan kegembiraan, walau dilanda badai dan taufan.
Percayalah, kerana itu janji Tuhan.
Comments
Post a Comment