Waksep Chenta Dari Allah
[kredit] |
Bayangkan kita sedang mengemudi sebuah kapal layar di lautan China Selatan. Langit yang membiru, awan yang menggebu dan laut yang tenang menjadikan pelayaran kita ibaratnya sebuah sorga.
Namun tiba-tiba langit menghitam. Angin mengganas. Awan berarak mendung dan laut mula bergelora. Kita menjadi cemas. Layar kita bergoyang tidak tentu hala.
Kita cuba untuk mengawal kemudi agar kapal tetap berada pada landasannya. Namun apakan daya, kita yang seorang itu tidak mampu untuk melawan kuasa alam yang jauh lebih gagah dan perkasa.
Namun kita masih belum berputus-asa. Kita cuba sedaya-upaya untuk mengawal keadaan, atau sekurang-kurangnya berusaha untuk kekal bernyawa. Kita cuba hubungi pengawal pantai, namun tiada respon. Kita harapkan pada sistem GPS kita, namun ia juga gagal berfungsi. Kita cuba untuk mengwaksep keluarga kita, tapi err, mana ada internet bang tengah-tengah laut bergelora dan ombak mengganas raksasa? Heh.
Bayangkan.
Ketika itu, ketika tiada siapa dan apa yang dapat mengeluarkan kita yang amat terdesak itu, kepada siapa kita pusatkan perhatian? Kepada siapa kita tumpukan sepenuh jiwa dan raga kita untuk meminta pertolongan dan bantuan?
Allah. Ya, kepada Allah.
Kita tidak pernah merasakan betapa dekatnya kita dengan Allah melainkan ketika itu. Kita tidak pernah merasakan betapa kuatnya pengharapan kita kepada Allah melainkan ketika itu. Dan kita tidak pernah merasakan betapa benarnya keikhlasan kita dalam meminta dan mengadu kepada Allah melainkan ketika itu.
...
...
...
Angin bayu bertiup lembut menampar pipi anda yang gebu itu.
Ok boleh buka mata anda. Dan lap mana-mana cebisan air mata yang ada.
Tetiba.
Begitulah caranya Allah menunjukkan chentaNya pada kita; menerusi mehnah dan tribulasi. Kerana hanya ketika itu sahajalah kita akan kembali semula kepadaNya, dengan penuh keinsafan dan keikhlasan.
Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana itu tahu bahawa fitrah manusia adalah kita tidak mungkin dapat hidup tanpaNya. Malah semenjak di alam ruh lagi kita telah bersaksi di hadapanNya bahawa Dia sahajalah Tuhan yang layak disembah.
"...dan Allah mengambil kesaksian terhadap mereka (seraya berfirman), 'Bukankah Aku ini Tuhanmu?' Mereka menjawab, 'Benar (Engkau Tuhan kami)'."
[al-A'raf, 7:172]
Sehingga dunia dan seisinya menjadi sorga kita. Sehingga dunia ini seakan-akan menjadi tempat pengabdian kita buat selama-lamanya. Dan sehingga kita melupakan akhirat dan hari yang kita akan pergi menghadapNya.
Kebergantungan kita terletak pada Puan Bos Besar yang akan menilai pencapaian kerjaya kita dan meluluskan gaji bulanan kita. Kebahagian kita terletak pada hujung minggu apabila kita membawa isteri dan anak-anak berjalan di taman bunga. Tujuan hidup kita tercapai apabila kita berjaya membina mahligai berkolam renang dan memiliki sepuluh jenis kereta.
Tiada lagi akhirat dalam kamus hidup kita. Tiada lagi Yaumul Hisab dalam kepala otak kita. Dan tiada lagi Allah dan sorga dalam zikir harian kita.
Yang ada hanya dunia, dunia dan dunia!
Alangkah!
Maka Allah turunkan ujian berupa kesusahan dan kemiskinan. Allah hantar cubaan berupa kelaparan dan kematian. Allah campakkan mehnah berupa kesakitan dan kesempitan.
Agar kita kembali ingat kepadaNya. Agar kita kembali menadah tangan penuh keinsafan memohon bantuan daripadaNya. Agar kita kembali melutut, sujud mengharapkan keampunan dan pembebasan daripadaNya.
Pernahkah kita terfikir, mengapa apabila kita ditimpa kesusahan, semua pintu-pintu harapan yang ada tertutup rapat? Apabila kita diuji dengan ujian yang sangat getir, semua sumber-sumber bantuan yang selama ini amat mudah untuk kita dapatkan, kini seolah-olahnya amat sukar untuk ditemukan? Mengapa?
Kerana Allah mahu kita kembali kepadaNya. Kerana Allah mahu kita bergantung semata-mata kepadaNya. Kerana Allah mahu kita bersihkan hati dan jiwa kita sebersih-bersihnya daripada sebarang bentuk ilah yang lainnya.
Sepertimana ar-Rasul dan para sahabat yang diuji bertubi-tubi, sehinggalah mereka tidak punya siapa untuk bergantung harap melainkan Allah semata-mata.
"Adakah kamu mengira kamu akan masuk sorga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) oleh orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digoncang (dengan pelbagai cubaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bertanya, 'Bilakah sampai pertolongan Allah?' Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.'
[al-Baqarah, 2:214]
Kita akan diuji dan diuji, diuji dan diuji lagi, sehingga yang tinggal hanya kita dan Allah. Kita akan dibelasah, dipukul, dipijak, ditampar dan diludah sehingga tiada siapa lagi yang boleh kita harapkan melainkan Allah. Kita akan jatuh terduduk, tidak tertahan lagi dengan ujian yang datang menimpa sehinggalah terkeluarlah lafaz dari sudut hati kita yang paling dalam, "Bilakah sampai pertolongan Allah?"
Ketika itulah, ketika kita merasakan amat dekat dengan Allah, ketika kita merasakan tiada kebergantungan melainkan kepadaNya semata dan tiada siapa lagi yang boleh kita harapkan, sayogia Allah akan membalas pertanyaan kita itu, "Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat!"
Nanges.
Sedekat apa pertolongan Allah itu?
"Dan sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya dari urat lehernya."
[Qaf, 50:16]
Ya, pertolongan Allah itu dekat, sangat dekat, lebih dekat dari urat leher kita sendiri!
Mengapa urat leher? Kerana urat leher adalah urat yang terpenting di dalam di dalam tubuh badan kita. Urat inilah yang menyalurkan darah ke jantung. Dengan kata lain, urat inilah yang menentukan hidup dan matinya kita.
Maka Allah itu lebih dekat daripada kehidupan kita sendiri. Kerana Allah itulah yang menghidupkan dan mematikan. Sedangkan Dia kekal, hidup untuk selama-lamanya.
Nah, masih ragu-ragukah kita kepada pertolonganNya? Masih ada rasa was-was betapa Dia sebenarnya sentiasa mendengar rintihan kita, sentiasa dekat di sisi kita?
Tarik nafas.
Begitulah.
Kita manusia yang serba lemah ini, apabila mengasihi dan menchentai seseorang, pastinya akan cuba untuk memberikan yang terbaik kepada insan yang kita kasihi itu. Sama ada dengan memberikannya hadiah, menghamburkannya dengan kata-kata jiwang hidung berdarah atau sesungguh-sungguhnya menuruti dan memenuhi apa yang diingini oleh insan tersebut.
Tetapi bukan begitu caranya Allah menchentai kita. Apabila Dia menchentai seseorang hambaNya, Dia pasti akan mengujinya agar hambaNya itu akan kembali kepadaNya. Allah yang "...menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan hatinya" itu pastinya Maha Mengetahui setiap inci daripada hati dan tubuh badan kita. Maka sudah tentu Dia lebih mengetahui apakah cara yang paling baik dan bergaya untuk menaburkan bunga-bunga chentanya kepada para hambaNya yang terpilih.
Maka bertabahlah, bersabarlah malah bergembiralah apabila kita diuji. Kerana itu tandanya Allah sedang menghantar waksep chentaNya kepada kita!
Senyum.
-NNIBMS-
Comments
Post a Comment