Pada Burung Yang Berterbangan Ada Tuhan
"Tidakkah
mereka memerhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya
di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain yang Maha Pengasih.
Sungguh, Dia Maha Melihat segala sesuatu."
[al-Mulk,
67:19]
Sekali
pandang ia nampak seperti ayat yang biasa-biasa sahaja kan?
Namun ada
sesuatu yang sangat istimewa tentang ayat ini. Dan ia benar-benar mengesani
jiwa.
Kata orang,
ini ayat pawerrrr!
Ia mengajar
kita bahawa di sebalik keriangan sang unggas berterbangan di kayangan mencari
rezeki itu, rupa-rupanya ada 'tangan' ghaib yang mengatur pergerakannya. Ia
mengingatkan kita kembali kepada hakikat keimanan ini; bahawa di sebalik setiap
sesuatu yang berlaku, ada Allah yang mengatur segala-galanya.
Inilah yang
dilakukan oleh ar-Rasul SAW tanpa jemu dan lelah kepada para sahabatnya. Di
sebalik fenomena alam dan kegiatan seharian yang tampak bosan dan tidak
mempunyai erti yang signifikan, rupa-rupanya ada pengajaran tauhid yang amat
bermakna. Contoh dan analogi yang dikemukakan di dalam al-Quran mudah difahami
dan simpel belaka, agar ibrah yang mahu disampaikan itu benar-benar meresap ke
dalam jiwa.
Pada gunung
yang memasak itu ada Allah.
Pada langit
yang membiru itu ada Allah.
Pada kapal
layar yang membelah laut itu ada Allah.
Pada pohon
yang menghijau itu ada Allah.
Malah pada
lalat yang berterbangan itu juga ada Allah.
Itulah
pendidikan. Tarbiyah. Yang objektifnya adalah untuk memasukkan iman ke dalam
hati.
Dan itulah
yang sewajarnya kita perolehi setiap kali kita membaca dan mentadabbur al-Quran;
sentuhan rabbani. Bukan hanya alunan suara yang merdu mendayu-dayu atau
aksara-aksara berselirat yang tidak kita fahami.
Namun sains
telah merubah segala-galanya. Keobjektivitian sains telah mengasingkan Tuhan
daripada fenomena alam. Setiap yang berlaku mesti ada sebab dan penjelasannya.
Selagi tidak dapat dibuktikan dengan sains, maka sesuatu teori atau pendapat
itu tidak boleh diterimapakai.
Moto sains
amat tuntas. Seeing is believing. Selagi tidak nampak dengan
mata, jangan percaya.
Sains yang
diajar di sekolah-sekolah dan institui-institusi pendidikan telah menjadikan
anak-anak Islam semakin jauh dengan Tuhan mereka sendiri. Ilmu-ilmu mantik dan
duniawi yang menjadi kayu ukur kepada kejayaan seseorang itu, menjadikan kita
terlalu leka mengejar duni hingga terlupa mempersiapkan diri untuk hari akhirat
kelak.
Terbangnya
burung adalah kerana bentuk tubuhnya yang dinamik, di samping tubuhnya yang
ringan.
Panasnya
hari adalah kerana haba yang dipancarkan daripada matahari.
Gelapnya
malam adalah kerana bumi berputar pada paksinya.
Matinya
manusia disebabkan sel-sel dalam tubuh badan yang sudah tua dan tidak lagi
berfungsi.
Lahirnya
seorang bayi adalah selepas sembilan bulan sepuluh hari setelah proses
persenyawaan sperma si ayah dan ovum si ibu.
Benar, semua
itu benar. Semua itu fakta yang tidak dapat disanggah. Namun mana aspek Tuhan
pada semua itu? Mana elemen rabbani pada ilmu-ilmu yang diajar? Mana perginya
Allah yang Maha Pengasih dan Allah yang Maha Berkuasa?
Sehingga
kita lupa untuk memaknai erti Kun Fayakun itu.
Sainslah
Tuhan kita. Dan akal pula menjadi sembahan kita. Na'udzubillah.
Bukan, saya
sama sekali tidak menolak sains dan teknologi. Yang saya nafi adalah keimanan
kepada sains dan teknologi yang membuta-tuli, sehingga Tuhan ditolak tepi. Yang
saya keji adalah ilmu-ilmu falsafah yang cuba meretorikkan fenomena dan
kejadian yang sebenarnya amat asas dan mudah difahami. Yang saya hairan dan
pelik adalah pada mudahnya manusia-manusia menjadikan akal sebagai panduan utama
mereka dan begitu sukar pula menerima firman-firman Allah yang agung itu.
"Dan
sesungguhnya Kami telah menjelaskan berulang-ulang kepada manusia dalam
al-Quran ini dengan bermacam-macam perumpamaan. Tetapi manusia memang yang
paling banyak membantah."
[al-Kahfi,
18:54]
Ha, kan tak
pasal-pasal dah kena penampar dengan ayat chenta Allah..?
Peringatan
kali ini cukup ringkas dan pendek sahaja.
Kadang-kadang
kita terlalu fokus kepada perkara-perkara yang besar dan gah, sehingga kita
mengabaikan perkara-perkara kecil yang menghidupkan kita. Kadang-kadang kita
terlaku sibuk mencari sebab dan hujah untuk sesuatu perintah Allah itu,
sehingga langsung kita lalai daripada melaksanakannya. Dan kadangkala kita
terlalu tertekan mencari bukti-bukti keEsaaan Allah yang Maha Agung itu,
sehingga apabila bukti sudah terpampang di hadapan mata, hati kita sudah pon
buta.
Nanges.
Lihatlah
pada awan yang menggebu, kerana di situ ada Allah.
Lihatlah
pada burung-burung yang berterbangan bebas, kerana di situ ada Allah.
Lihatlah
bangunan yang melangit tinggi, kerana di situ ada Allah.
Lihatlah
pada LRT yang sesak bergerak laju, kerana di situ ada Allah.
Dan lihatlah
pada diri kita sendiri, kerana ketahuilah, di situ juga ada Allah.
Because
seeing is not always believing. When your heart sees, you will see everything.
Comments
Post a Comment