Menjadi Nabi Yusuf
Di dalam
risalah Daawatuna (Dakwah Kami) nukilan Imam Hassan al-Banna, tertulis di
penghujung risalah ini, "Saya yakin kalianlah Yusuf kepada impian
ini."
Saya amat
tertarik dengan kata-kata ini. Cukup berkuasa. Menghidupkan. Menyegarkan.
Seolah-olahnya ia adalah kata-kata sakti yang benar-benar memukau hati-hati dan
jiwa-jiwa yang dahagakan pedoman dan bimbingan, setelah sekian lama terdampar
di padang pasir kejahilan dan kelemahan yang begitu terik, panas dan
meletihkan.
Ewah.
Apa yang
sebenarnya yang cuba disampaikan oleh Pakcik Hassan? Mengapa Nabi Yusuf yang
dijadikan rujukan? Impian apakah yang dimaksudkan oleh beliau?
Untuk
mengetahui dan memahami kata-kata yang ringkas namun meninggalkan kesan yang
cukup mendalam ini, sudah tentulah kita perlu sekurang-kurangnya mengetahui dan
cuba untuk memahami kisah hidup Nabi Yusuf a.s.. Jika mahu lebih osemness tahap
awan guling, kita juga amat wajar sekali mempelajari dan menghayati tafsir
surah Yusuf untuk menerokai perjalanan hidup Nabi Allah yang mulia itu agar
dapat kita tanggapi kata-kata Pakcik Hassan dengan lebih adil dan benar.
Siapa Nabi
Yusuf? Apakah yang berlaku pada dirinya? Bagaimana perjalanan hidupnya? Mengapa
Allah mendedikasikan seluruh surah Yusuf kepada seorang sahaja NabiNya yang hebat
ini? Apa kaitan baginda dengan kehidupan kita pada hari ini?
Ok kalau nak
tahu semua itu silalah cari mana-mana buku cerita kisah-kisah Nabi. Wahahaha.
Saya hanya
mahu berkongsikan kepada anda poin-poin utama untuk menjelaskan apakah yang
dimaksudkan dengan Pakcik Hassan tentang kita menjadi Nabi Yusuf a.s..
Baiklah.
Sekiranya
kita menelusuri kisah Nabi Yusuf a.s, kita akan dapati perjalanan hidup baginda
seperti menaiki roller coaster lagaknya; ada naik turunnya,
ada laju dan perlahannya. Penuh warna-warni dan teka-teki. Kadang-kadang ada
ombak tinggi dan garang; kadangkala airnya tenang dan senang.
Ok Inche
Izzati . Cukuplah bermadah tu. Boleh terus sahaja ke poin utama tak..?
Mata pandang
ke atas. Senyum seorang diri.
Kisahnya
bermula apabila Nabi Yusuf a.s. bermimpi "...sebelas bintang,
matahari dan bulan; ku lihat semuanya sujud kepadaku." [Yusuf,
12:4]
Sementelah
mendengar pengkisahan mimpi si anak yang dikasihi, Nabi Yaakub a.s. menasihati
Yusuf agar tidak menceritakan perihal mimpinya itu kepada
adik-beradiknya.
"Wahai
anakku, jangan kau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, mereka akan
membuat tipu-daya (untuk membinasakan)mu. Sungguh, syaitan itu musuh yang jelas
bagi manusia."
[Yusuf,
12:5]
Namun
perancangan Allah mendahului segala-galanya. Nabi Yusuf a.s. dicampakkan oleh
saudara-saudaranya "...ke dasar sumur agar dia dipungut oleh
sebahagian musafir..." [Yusuf, 12:10] dek perasaan hasad dan
dengki kepada Yusuf yang lebih disayangi oleh ayah mereka.
Yusuf
kemudiannya dijumpai oleh kafilah yang melalui tempat perigi di mana baginda
dicampakkan. Baginda kemudiannya diperbudakkan dan dijual dengan harga yang
murah di pasar Mesir. Daripada seorang hamba yang dijual dengan harga yang
murah, Yusuf tinggal di teratak al-Aziz yang mewah dan serba-serbinya lengkap
dan selesa.
"Dan
demikianlah Kami memberikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di negeri
(Mesir)..."
[Yusuf,
12:21]
Kemudian,
seperti yang kita ketahui, berlakulah suatu noktah hitam dalam perjalanan hidup
Nabi Yusuf a.s.. Baginda telah digoda oleh isteri al-Aziz yang terpikat dengan
kekacakan dan kesempurnaan rupa paras Yusuf, sehingga sanggup mengajak baginda
melakukan maksiat. Kalaulah bukan kerana hidayah daripada Allah dan keteguhan
hati Yusuf menahan godaan, sudah pasti baginda juga terjerumus ke dalam lembah
maksiat yang jijik dan busuk itu.
"...Dan
Yusuf pun berkehendak kepadanya, sekiranya dia tidak melihat tanda (dari)
Tuhannya. Demikianlah Kami palingkan darinya keburukan dan kekejian. Sungguh,
dia (Yusuf) termasuk hamba Kami yang terpilih."
[Yusuf,
12:24]
Yusuf
akhirnya dipenjarakan kerana mempertahankan keimanan dan kebenaran. Di dalam
penjara inilah baginda bertemu dengan dengan orang rakan banduan yang akan
mengubah hidupnya di kemudian hari. Salah seorang daripadanya dibebaskan dan
bekerja sebagai pelayan kepada raja. Ketika dia dibebaskan, dia berjanji untuk
memberitahu perihal Nabi Yusuf yang tidak bersalah itu kepada raja. Namun
sekali lagi perancangan Allah mendahului segala-galanya. Si pelayan langsung
terlupa untuk bercerita kepada si raja.
Suatu hari
si raja bermimpi sesuatu yang pelik sekali. Tiada siapa yang boleh menakwilkan
mimpinya itu. Ketika itulah si pelayan, yakni bekas banduan yang pernah
dipenjarakan bersama Nabi Yusuf itu teringat akan si Nabi yang masih lagi
dipenjarakan. Lantas dia menceritakan kehebatan Nabi Yusuf menakwilkan mimpi,
yang kemudiannya berjaya mentafsirkan mimpi si raja dengan cemerlang dan
gemilang sekali. Glamor gitu.
Dipendekkan
cerita kerana saya sudah mula malas untuk menulis, eh. Kehidupan Nabi Yusuf
berubah serta-merta semenjak itu. Baginda diangkat menjadi Menteri Kewangan
Mesir yang berjaya menerajui dan menguruskan perbendaharaan Mesir dengan begitu
baik sekali.
Ketika
inilah baginda dipertemukan semula dengan saudara-saudaranya yang suatu ketika
dahulu pernah mengkhianatinya dengan mencampakkan baginda ke dalam perigi.
Namun sesuai dengan taraf baginda sebagai seorang Nabi yang dikasihi Allah,
baginda langsung tidak berdendam kepada mereka malah memaafkan mereka
kesemuanya.
"Mereka
berkata, 'Sungguh Allah telah melebihkan engkau di atas kami, dan sesungguhnya
kami adalah orang-orang yang bersalah (berdosa).'
Dia
(Yusuf) berkata, 'Pada hari ini tidak ada cercaan terhadap kamu, mudah-mudahan
Allah mengampuni kamu. Dan Dia Maha Penyayang di antara para penyayang."
[Yusuf,
12:91-92]
Akhirnya,
baginda dipertemukan semula dengan ayahandanya yang terchenta, Nabi Yaakub a.s.
dan sayugia baginda hidup bahagia selama-lamanya (Baca:Happily ever after).
"Dan
dia menaikkan kedua orang tuanya ke atas singgahsana. Dan mereka (semua) tunduk
sujud kepadanya (Yusuf). Dan dia (Yusuf) berkata, 'Wahai ayahku! Inilah takwil
mimpiku yang dahulu itu. Dan sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya
kenyataan. Sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku..."
[Yusuf,
12:100]
Tarik nafas.
Betulkan tempat duduk.
Ehem.
Bagaimana..? Anda sudah berjaya cantumkan kepingan-kepingan jigsaw
puzzle nya di situ..?
Hassan
al-Banna mempunyai tumuhaat (impian) yang cukup besar ketika beliau menubuhkan
pergerakan Ikhwanul Muslimin. Pasca kejatuhan khilafah Uthmaniyyah pada tahun
1924, beliau berazam untuk menegakkan kembali hukum Allah di muka bumi ini.
Namun melihatkan masyarakat yang sudah sakit tenat, dijangkiti oleh pelbagai
jenis penyakit kritikal dan membunuh sekaligus, menyebabkan ramai yang patas
semangat dan lemah harapan untuk mengembalikan kegemilangan Islam.
Di sinilah
Hassan al-Banna meletakkan harapan yang tinggi, agar kita, para dua't yang
menyambung mata-mata rantai perjuangan dakwah dan jihad Nabi SAW, menjadi Nabi
Yusuf kepada impian dan cita-citanya yang cukup tiinggi dan mulia itu.
Bagaimana..?
Kata
kuncinya adalah tsiqah (percaya), beriman dan redha dengan perancangan dan
ketentuan Allah. Ya, sepertimana perjalanan hidup Nabi Yusuf a.s. yang ada naik
turunnya dan jatuh bangkitnya, baginda tetap yakin dan berlapang dada dengan
perancangan yang telah Allah tetapkan untuknya.
"Sesungguhnya
Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari penjara
dan ketika membawa kamu dari dusun, setelah syaitan merosak (hubungan) antara
aku dengan saudara-saudaraku. Sunggu, Tuhanku Maha lembut terhadap apa yang Dia
kehendaki. Sungguh, Dia Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana."
[Yusuf,
12:100]
Maka
sepertimana lapangnya dada Nabi Yusuf dan baiknya sangkaan baginda terhadap
perancangan dan susun atur yang telah ditetapkan oleh Allah, begitu juga
seharusnya sikap kita dalam merancang dan melaksanakan agenda kemenangan Islam
pada hari ini.
Meskipon
tampak ibaratnya seperti mustahil Islam akan bangkit semula di saat ini.
Walaupon
Islam dan umatnya terus dibelasah dan dihambat musuh-musuh Islam dari pelbagai
arah dan sisi.
Meski sudah
ramai yang putus-asa dan lelah dada akan kemenangan Islam yang tidak kunjung
tiba.
Kerana Islam
itu pasti akan naik semula. Islam itu wajib memerintah alam buana semula.
Kemenangan Islam itu tidak mungkin boleh dihalang dan ditahan lagi oleh sesiapa
atau apa-apa.
Persoalannya
bila. Persoalannya bagaimana. Dan persoalan yang lebih utama, siapa yang akan
memenangkannya..?
Kita? Atau
sekumpulan manusia lain yang Allah pilih dek kegagalan dan kelemahan kita dalam
melaksanakan amanah Syahadatul Haq ini...?
Nanges
laju-laju.
Ibrah dari
kisah Nabi Yusuf ini juga wajar kita aplikasikan dalam kehidupan sehari-hari
kita.
Ketika kita
gagal mendapat keputusan gemilang dalam hekzem kita.
Ketika
keadaan ekonomi keluarga yang benar-benar membotakkan kepala.
Ketika kita
kehilangan orang yang amat kita sayang dan chenta.
Ketika kita
dianiaya dan dizalimi sehingga menyebabkan kita terasa mahu terjun mulut
buaya.
Ketika mad'u
yang kita penat-penat kita jala sedikit demi sedikit mula meninggalkan kita.
Semua ini,
semua ini adalah ketentuan dan perancangan Allah Yang Maha Esa dan Kuasa. Yang
lebih Mengetahui apa yang diperlukan kita. Yang lebih Bijaksana dalam
menentukan hala tuju kehidupan kita.
Arakian kita
perlu sabar menanggapi semua ini. Kita perlu redha dan berlapang dada dengan
musibah yang menimpa diri. Jadilah seperti seorang mu'min yang dikagumi oleh
sang Nabi sendiri; bersyukur apabila mendapat nikmat dan bersabar apabila
ditimpa bencana.
Kerana
yakinlah, Dia mahu mempersiapkan kita, menjadi Yusuf kepada impian yang lebih
agung dan mulia.
"Katakanlah,
'Inilah jalanku; aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada
Allah dengan yakin, Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang
musyrik.'"
[Yusuf,
12:108]
Senyum, mata
berkaca-kaca
NURUL NOOR IZZZATI
Comments
Post a Comment