AIR LAUT ITU MASIN
Dia berlari mendapatkan ombak laut di Mutiara Beach Resort , Langkawi. Dia tidak menunggu yang lain kerana terlalu teruja untuk bermain air laut. Sedari tadi air laut seakan memanggilnya , menunggu saat untuk diteroka. Disentuhnya air laut itu. Meskipun seperti garam tumpah, dia tetap tegar merasanya. Matanya berkaca gembira. Bibirnya terukir senyum bangga. Menampakkan baris gigi sedikit jarang kepunyaannya.
Dipijaknya pula pasir laut. Dirasakan teksturnya. Didekatkan ke hidung , diambil baunya. Dia memanggil rakan-rakan supaya lebih segera. Ambil gambar dia di laut Malaysia.
Memijak pasir , memegang kulit siput , membiarkan badannya dipukul ombak , bermain bola di laut. Jika tidak kerana obor-obor yang merosakkan sedikit harinya , dia mungkin menghabiskan sehari suntuk di dalam lautan. Gatal di kaki akibat penangan obor-obor pun tetap menyeronokkan baginya kerana itu juga pengalaman pertamanya.
Banyak yang pertama kali sepanjang dia berada di negara ini. Pertama kali keluar negara. Pertama kali menaiki kapal terbang. Pertama kali berada jauh dari rumah. Pertama kali melihat lautan. Melihanya merasai air laut, sedikit pun tidak dipandang janggal . Malah berasa teruja untuk berkongsi bersama. Mungkin kerana masing-masing juga tahu bagaimana rasanya melakukan perkara baru buat kali pertama.
Jika orang Malaysia berkunjung ke Mangolia sekalipun, tidak mustahil akan ada orang-orang kita yang berbaring di atas salji, mengumpul serta merasai salji menggunakan semua deria yang kita ada.
Sedang semua orang disana sibuk mengunci diri di rumah daripada perlu membenamkan kaki ke timbunan salji setinggi paras pinggang, kita pula sibuk bermain dan bergambar dalam suhu yang lebih rendah daripada paras beku . Semua itu kerana ia bukan satu kebiasaan buat kita. Semua itu adalah pengalaman baru.
Maka tidak ada peliknya jika kita melihat ada orang merasai air laut. Ada orang yang berbasikal di tengah panas kota. Ada yang membeli belah barangan yang tidak pernah kita hiraukan sebelum ini. Kerana mungkin, itu semua adalah sesuatu yang baru atau pertama kali buat mereka.
Kata orang, pengalaman pertama adalah sesuatu yang sukar dilupakan. Baik atau buruk , kedua-duanya penting dalam perjalanan hidup seseorang. Ia akan selalu diingati , akan selalu ada di kotak fikiran. Oleh kerana itu, jika berpeluang menimba pengalaman baru jangan dilepaskan. Ia umpama melepaskan satu siri berguna dalam kehidupan.
Comments
Post a Comment